Pages

Monday, 4 June 2012

Menyingkap kesan empat dekad perang Arab-Israel


  
  • Foto
    TINDAKAN ganas dan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin terus mendapat restu Amerika.
  • Foto
    RAKYAT Palestin terus ditindas hingga menjadi pelarian di tanah air sendiri.
Kita dapat nilai siapa 'kuasa ghaib' di sebalik konflik di negara Arab

HARI ini genaplah 45 tahun Israel menduduki Tebing Barat, Bukit Golan dan Semenanjung Gaza. Tanggal 5 Jun 1967, perang ketiga Arab-Israel tercetus sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua yang digelar 'Perang 6 Hari'.Ia dinamakan Perang 6 Hari kerana dalam tempoh enam hari saja, tentera Yahudi menawan Semenanjung Sinai, Tebing Barat, Bukit Golan dan Semenanjung Gaza.
Perang 6 Hari bermula apabila juruterbang Tentera Udara Israel yang mempunyai semangat patriotik tinggi melancarkan serangan udara mengejut ke Mesir dan Jordan pada pagi 5 Jun 1967. Operasi itu dinamakan 'Operation Moked' kemudian disusuli serangan darat dilengkapi kereta kebal dan meriam artileri.
Mesir, Jordan dan Syria terbabit secara langsung dalam peperangan itu. Negara Arab lain yang turut membantu dengan menghantar tentera darat ialah Arab Saudi, Libya, Iraq serta beberapa negara Islam berdekatan. Di luar rantau, Pakistan turut menyumbang juruterbang tentera udaranya bagi memandu jet pejuang Jordan. 

Setiap konflik membabitkan Arab-Israel sememangnya rumit untuk dibincang dan boleh diperdebat dari pelbagai sudut iaitu agama, ekonomi, sejarah, ketenteraan mahupun hubungan antarabangsa. Sejarah hubungan Arab-Israel sangat panjang dan boleh disingkap sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan. 

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di luar dunia Arab sukar mendapat gambaran sebenar mengenai perang Arab-Israel kerana kebanyakan buku ditulis penyelidik dan wartawan Barat berdasarkan ‘kaca mata’ bukan Islam dan pro-Yahudi. Justeru, Israel sentiasa dilihat kuat dan negara Arab nampak lemah, tidak hebat dan mudah dikalahkan. 

Mungkin ada buku dihasilkan mereka yang menjadi pegawai kerajaan atau tentera berkhidmat ketika Perang 6 Hari berlaku. Namun jika bahasa Arab tidak diterjemahkan, mana mungkin dunia dapat mengetahuinya. 
Perang 6 Hari bermula apabila juruterbang Tentera Udara Israel yang mempunyai semangat patriotik tinggi melancarkan serangan udara mengejut ke Mesir dan Jordan pada pagi 5 Jun 1967. Operasi itu dinamakan ‘Operation Moked’ kemudian disusuli serangan darat dilengkapi kereta kebal dan meriam artileri. Ia sekali gus melumpuhkan kekuatan tentera udara Mesir dan Jordan. 

Media Barat melaporkan, daripada 416 pesawat pelbagai jenis dimiliki Mesir, Jordan, Syria dan Iraq, 393 pesawat berjaya dimusnahkan tentera Israel. Sebelum perang meletus, Jordan hanya memiliki 24 jet pejuang untuk melindungi keseluruhan jajahannya termasuk Baitulmaqdis di Tebing Barat. 

Israel menuduh Mesir di bawah pimpinan Gamal Abdul Nasser menjadi penyebab utama kepada perang berkenaan apabila menutup Selat Tiran di antara Teluk Aqaba dan Laut Merah. Gamal Nasser dikatakan menyemarakkan api kebencian terhadap Yahudi melalui siaran radio Mesir, Voice of the Arabs. 

Apabila perang bermula, Israel menipu dunia dengan menyatakan tentera darat Mesir menyerang mereka dulu, sedangkan ketika itu 70,000 atau satu pertiga kekuatan tentera Mesir terbabit perang saudara di Yaman Utara. Apabila pangkalan udara mereka diserang 5 Jun 1967, Mesir menggerakkan 950 kereta kebalnya ke Semenanjung Sinai. 

Dalam buku bertajuk Six Days: How the 1967 War Shaped the Middle East karya Jeremy Bowen dengan jelas menyatakan, Amerika Syarikat tahu dan merestui tindakan Israel memulakan Perang 6 Hari. Buku itu turut memetik kata-kata Moshe Dayan, Menteri Pertahanan Israel ‘bermata satu’ mengesahkan 80 peratus pertembungan dan pertempuran sempadan dengan Syria sebelum Perang 6 Hari adalah hasil tindak-tanduk provokasi Israel sendiri.

Israel jugalah yang sedikit demi sedikit mula mengambil Tebing Barat ketika masih di bawah penguasaan Jordan apabila menyerang pekan Samua (berhampiran Hebron) yang terletak di selatan Baitulmaqdis, 13 November 1966.

Resipi utama kejayaan Israel mudah, mengambil kesempatan di sebalik ketidaktentuan dan kekacauan politik dalaman negara Arab. Dalam tempoh 17 tahun sebelum 1967, Syria mengalami sembilan rampasan kuasa tentera mengorbankan banyak nyawa.

Agensi Perisikan Israel, Mossad, menempatkan beberapa ejen mereka di Syria, antaranya Eli Cohen. Ejen seperti Cohen bertugas melagakan pemerintah dengan rakyat, selain mendapatkan maklumat sulit kerajaan dan tentera Syria. Cohen akhirnya dibunuh pihak berkuasa Syria.

Tentera Yahudi juga bijak melatih dan melahirkan pengkhianat serta tali barut untuk kepentingan mereka. Ini dijelaskan dalam buku The Six Day War 1967: Jordan and Syria tulisan Simon Dunstan mendedahkan mengenai seorang juruterbang Tentera Udara Iraq, Munir Redfa berpaling tadah ke Israel pada 16 Ogos 1966.

Bersama-sama beliau ialah sebuah jet pejuang buatan Russia MIG-21 milik Iraq. Tidak diketahui sama ada beliau diugut atau diberi rasuah, namun yang pasti Israel dapat mengkaji dan memandu uji jet itu untuk menilai kekuatan Tentera Udara Mesir dan Syria yang memiliki banyak pesawat MIG-21. 

Pada 12 Mei 1967, Israel mengeluarkan kenyataan akan menggunakan kuasa tentera menukar rejim pemerintah Syria yang didakwa menyokong kegiatan pengganas di sempadan kedua-dua negara. Apakah hak Israel menentukan pemerintah negara berdaulat seperti Syria ketika itu?

Selepas 45 tahun, mutakhir ini kita dapat menilai sendiri siapa menjadi ‘kuasa ghaib’ di sebalik konflik yang bakal memusnahkan Syria khasnya dan dunia Arab amnya.

Israel memiliki ramai pegawai tentera yang pernah berkhidmat dengan Tentera Britain ketika Perang Dunia Kedua di Eropah. Mereka mengetahui kelemahan tentera Arab berdasarkan pengalaman sebelum 1967, iaitu peperangan pada 1948 dan 1956. 

Selain menggunakan strategi Barat dalam perisikan dan semboyan, tentera Yahudi mengaplikasikan ‘Lima Strategi Utama Memenangi Perang’ dipelopori Sun Tzu. Tiga daripada strategi utama itu ialah mengetahui masa sesuai untuk bertempur, memperlengkap pasukan sendiri serta menyerang musuh yang tidak bersedia dan strategi terakhir, mempunyai matlamat perang yang jelas dalam semua lapisan pasukan tanpa mengira pangkat. 

Tentera Yahudi maklum Mesir tidak bersedia kerana terbabit dengan perang saudara di Yaman, manakala Syria masih dibelenggu masalah politik dalaman. Perbalahan sesama Arab jelas sekali menguntungkan Yahudi. Jordan pula bukanlah tandingan mereka, apatah lagi hampir semua kelengkapan tentera negara beraja itu datang dari sumber sama dengan Israel iaitu Amerika Syarikat dan Britain. 

Perkara pokok yang menyatukan matlamat semua anggota tentera Israel ialah untuk mengambil semula kota suci Baitulmaqdis keseluruhannya. Mereka sedar tidak akan dapat menawan kota itu dengan cara lembut atau melalui meja rundingan. Perang, huru-hara dan keganasan adalah pilihan utama. Sesungguhnya Perang 6 Hari mencorakkan politik Arab-Israel bertahun-tahun lamanya. Sejak itu bermulalah episod sedih penindasan dan pelarian di bumi sendiri oleh penduduk Palestin. 

Satu ketika dulu, ancaman dizahirkan dalam bentuk jet pejuang, kereta kebal dan tentera infantri lengkap bersenjata. Kebelakangan ini, apa yang perlu untuk mencetuskan kacau bilau sesebuah negara hanyalah internet, pentas ceramah dan akhbar politik. Emosi pembaca dan pendengar menjadi bahan mainan pihak yang kemaruk untuk memerintah. Selepas Kerajaan Mesir tumbang oleh demonstrasi jalanan, giliran Syria bakal dihancurkan tangan-tangan ‘rakyat’ sendiri. 

Istilah ‘rakyat’ sesuai dijaja di negara tertentu dan bukanlah seperti sepasang kasut yang boleh memuatkan semua saiz kaki. Republik ‘Rakyat’ China masih diperintah oleh hanya satu parti saja yang bertunjangkan fahaman komunis, manakala di seberang tambak, pemimpin Parti Tindakan ‘Rakyat’ akan mengheret ke mahkamah ‘rakyat’ yang mengkritik mereka. 

Sehingga hari ini, negara kota singa yang ‘bersih’ daripada sampah dan sebarang perhimpunan haram itu belum memansuhkan undang-undang ‘tidak berperi kemanusiaan’, ISA. 

Adakah ‘rakyat’ kedua-dua negara itu dijamin kebebasan bersuara serta berdemonstrasi sehingga boleh memekik di tempat awam dengan berkata ‘kerajaan negara itu tidak telus dan tidak adil’? Sesuaikah pelarian Syria yang berharta hidup selesa sebagai seorang Islam di kedua-dua negara ‘rakyat’ berkenaan?



Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MenyingkapkesanempatdekadperangArab-Israel/Article

No comments:

Post a Comment