Pages

Saturday 25 February 2012

Aibkan bayi

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya meminta supaya keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan mengenai penamaan anak tak sah taraf (luar nikah) yang dibin atau dibintikan kepada Abdullah disemak semula kerana didakwa tidak menepati konsep Islam serta mengaibkan.
Katanya, semakan itu perlu kerana keputusan berkenaan berdasarkan perbincangan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan bukan keputusan dicapai Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

“Sebenarnya ada perbezaan antara Muzakarah Fatwa Kebangsaan dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Keputusan mengenai penamaan anak luar nikah kepada Abdullah adalah berdasarkan muzakarah atau perbincangan yang dihadiri individu tertentu.


“Untuk menetapkan sesuatu keputusan atau fatwa, ia sebenarnya hanya boleh dilakukan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kerana ahlinya dipilih Majlis Raja-Raja dan barulah ia boleh diguna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada forum ‘Apa Ada Pada Nama’ anjuran Sisters In Islam yang turut dihadiri Ketua Hakim Syariah Terengganu, Datuk Ismail Yahya serta peguam bela dan peguam cara, merangkap peguam syariah, Nizam Bashir.


Menurut Dr Juanda, keputusan fatwa yang diguna pakai itu juga tidak berdasarkan konsep Islam kerana ia kelihatan menindas serta memalukan.




“Saya tidak tahu apa perlunya menamakan seseorang anak luar nikah, termasuk individu yang baru masuk Islam, dengan berbin atau berbintikan Abdullah. Ini seolah-olah kita ingin meletakkan mereka dalam satu kumpulan dengan tujuan tertentu.

“Sebab itu, dalam kebanyakan kes, anak-anak ini kemudian menjadi malu dan menerima aib apabila diketahui mereka anak tak sah taraf, sedangkan ia kesalahan ibu bapa dan tidak sepatutnya ditanggung anak,” katanya.


Dr Juanda berkata, tidak ada dalil atau nas menyatakan anak tidak sah taraf, termasuk golongan mualaf, perlu dibin atau dibintikan dengan Abdullah.

“Jika seorang lelaki datang ingin mendaftarkan nama anak mereka, itu bermakna dia mengaku itu anaknya dan tidak perlu dipertikaikan.


“Walaupun ia anak hasil di luar perkahwinan, hubungan darah antara bapa dengan anak tetap sama, cuma bezanya hasil hubungan sebelum berkahwin.


“Jadi kita sebagai manusia tidak perlu menghukum anak itu kerana kesalahan ibu serta bapa mereka,” katanya.


Sementara itu, Ismail berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana ibu atau bapa mendaftar nama anak mereka.


Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku ialah kakitangan di JPN pula sibuk meminta pelbagai dokumen daripada ibu atau bapa, termasuk mempertikaikan taraf perkahwinan seseorang yang tidak sama mengikut waktu kelahiran anak.


“Tugas mereka adalah mendaftarkan nama. Jika ayah serta ibu bapa adalah warga negara, soal tempoh perkahwinan sewaktu melahirkan tidak patut menjadi persoalan.


“Perkara ini sebenarnya di bawah kuasa syarak dan bukan di bawah bidang kuasa pentadbiran. Hukum syarak lebih tinggi daripada pentadbiran,” katanya.


Nizam pula berkata, ibu atau bapa yang ada masalah atau dihalang untuk mendaftarkan nama anak atas sebab tertentu boleh membawa perkara itu ke mahkamah kerana ia melanggar Artikel 358 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan untuk mendaftar seperti terkandung dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Peruntukan-Peruntukan Khas).



sumber : myMetro

No comments:

Post a Comment